Apakah Pencemaran Cahaya ?

Apakah Pencemaran Cahaya ?

Berpuluh tahun sebelum ini, datuk nenek kita menikmati keindahan langit malam dengan kerdipan bintang memenuhi langit. Galaksi Bima Sakti terbentang dihiasi jutaan bintang yang mempesonakan. Ia  menjadi inspirasi untuk mereka mengkaji dan berkarya. Bintang-bintang menjadi panduan untuk mengemudi di darat dan lautan. Walau bagaimanapun, generasi hari ini tidak lagi berpeluang menikmati keindahan Bima Sakti dengan mata kasar. Limpahan cahaya tiruan mencacatkan pemandangan langit dan memberi kesan kepada alam. Limpahan cahaya ini dinamakan sebagai pencemaran cahaya.

Apa itu Pencemaran Cahaya?

Pencemaran Cahaya merujuk kepada keadaan di mana cahaya tiruan dihasilkan dan digunakan secara berlebihan pada waktu malam sehingga merosakkan persekitaran estetika seperti mengganggu pemandangan langit malam, menjejaskan kesihatan, mengganggu ekosistem alam serta menyebabkan pembaziran tenaga.

Sebelum dan selepas, sewaktu “2003 Northeast blackout”, bekalan elektrik tergendala. Gambar oleh  Todd Carlson ~ Kredit Laman Web IDA.

Pencemaran cahaya terdiri dari 3 jenis 

  1. SkyGlow: Teja Langit
    > Cahaya lebihan dari bandar atau lampu limpah yang terpancar atau dihalakan ke langit. 
  2. Glare : Silauan
    > Cahaya terang yang menghadkan pemandangan atau membutakan penglihatan seketika.
  3. Light Trespass : Pencerobohan cahaya yang tidak diperlukan. 
    > Lebihan cahaya yang tidak diperlukan memasuki kawasan orang lain atau ruang yang tidak sepatutnya. Cahaya yang tidak diperlukan pada waktu malam masuk melalui tingkap rumah dan pangsapuri, menyebabkan gangguan akibat cahaya yang berlebihan.

Kesan Pencemaran Cahaya

  1. Mengganggu pemandangan langit malam 
    • Cahaya tiruan yang cerah telah menyukarkan kita untuk melihat bintang di langit malam. Bintang-bintang tidak hilang, ia terlidung oleh lapisan pencemaran cahaya.Oleh itu, generasi hari ini tidak lagi dapat melihat langit seperti yang disaksikan oleh nenek moyang mereka.
  1. Menjejaskan kesihatan, 
    • Persatuan Perubatan Amerika “American Medical Association” memberi amaran bahawa pencahayaan pada waktu malam, terutama jenis LED biru-putih, “dikaitkan dengan waktu tidur yang berkurang, ketidakpuasan kualiti tidur, mengantuk yang berlebihan, gangguan fungsi pada siang hari dan kegemukan.”
    • Kajian Universiti Harvard menunjukkan bahawa cahaya buatan yang berlebihan berkaitan dengan peningkatan kadar barah payudara. Ia menurunkan kadar hormon melatonin yang mempengaruhi kitaran sirkadian. Buat masa ini, hubungan itu dijumpai pada wanita pramenopause yang sekarang atau bekas perokok, namun ia tetap merisaukan.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2627884/

  1. Mengganggu ekosistem alam 
    • Tumbuhan dan haiwan bergantung pada kitaran harian perubahan cahaya dan gelap Bumi yang mempengaruhi aktiviti kehidupan seperti pembiakan, makanan, tidur dan berlindung dari pemangsa.
    • Bukti saintifik menunjukkan bahawa lebihan cahaya buatan pada waktu malam mempunyai kesan negatif kepada amfibia, burung, mamalia, serangga dan tumbuhan. 
  1. Menyebabkan pembaziran tenaga.
    • Pencahayaan yang berlebihan akan  menggunakan tenaga elektrik yang banyak. Lebihan tenaga yang digunakan adalah pembaziran yang boleh memberi kesan kepada ekonomi.
    • IDA (International DarkSky Associatio) menganggarkan bahawa 30 peratus daripada semua pencahayaan luaran di A.S. adalah pembaziran, kebanyakkan disebabkan oleh lampu yang tidak terlindung. Ini bermaksud pembaziran USD3.3 bilion. Ia juga membebaskan 21 juta tan karbon dioksida setiap tahun! Untuk mengimbangi semua karbon dioksida itu, kita perlu menanam 875 juta pokok setiap tahun.

Mengukur pencemaran Cahaya

1. Menggunakan SQM

Untuk mengukur pencemaran cahaya, astronomer menggunakan peranti Sky Quality Meter (SQM). SQM mengukur kadar kekilauan  cahaya waktu malam. Nilai pencemaran cahaya diukur dengan skala “Magnitudes per square arcsecond”.

Peranti Sky Quality Meter

Semakin tinggi bacaan SQM semakin gelap langit

Dalam ukuran SQM bacaan 20 atau 21 menunjukkan langit gelap di mana penglihatan bintang berada pada tahap terbaik dan bintang-bintang Bima Sakti dapat dilihat dengan jelas. Bacaan 16 atau 17 menunjukkan langit yang dipengaruhi oleh kecerahan cahaya buatan atau cahaya Bulan yang terang. Gambar di bawah dari Unihedron memberikan petunjuk kasar mengenai apa yang ditunjukkan oleh bacaan.

2. Skala Bortle

Skala Bortle adalah skala yang terdiri dari sembilan peringkat  yang mengukur kecerahan langit malam dari lokasi tertentu. John E. Bortle membuat skala ini dan menerbitkannya dalam majalah Sky & Telescope edisi Februari 2001 untuk membantu ahli astronomi amatur menilai kegelapan sebuah di kawasan cerapan, dan untuk membandingkan kegelapan di antara kawasan cerapan.

Skala Bortle diukur berdasarkan pengamatan astronomer terhadap keboleh nampakan jumlah bintang dan galaksi  di langit yang terkesan oleh kadar kegelapan disebabkan pencemaran cahaya. Sebagai contoh, langit Kelas 1 Bortle bermaksud bahawa seseorang dapat melihat M33 (Galaksi Triangulum) menggunakan mata kasar secara langsung.

Dalam skala Bortle, semakin rendah nilai skala, semakin gelap kawasan tersebut.

Nilai SQM digandingkan dengan Skala Bortle. Semakin rendah skala Bortle, semakin tinggi nilai SQM.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pencemaran cahaya baca penerangan dibawah. Anda juga boleh memuat turun broshure ini dan kongsikan dengan rakan-rakan.

Dengan memahami isu dan kesan pencemaran cahaya, kita seharusnya bertindak melakukan sesuatu untuk memastikan pancemaran cahaya berkurang. Tentunya, tiada siapa yang mahukan lampu-lampu di seluruh dunia terus terpadam. Kebijaksanaan kita dalam memanfaatkan sumber cahaya tiruan seharusnya dapat melestarikan keindahan langit gelap kita.

Spread the news

International Day of Light

Dark Site Finder

IDA

Earth Hour

Globe at Night

Light Pollution Map

ms_MYMalay
en_USEnglish ms_MYMalay